Patutnya entri ini dimuatkan hari Isnin lepas, disebabkan kesibukan waktu terpaksa ia ditangguhkan seketika. Mungkin penulisannya tidak sehangat waktu kejadian masih lagi berlaku. Rasa marah, geram dan berbulunya mungkin sudah bersisa. Tapi teladannya masih boleh dijadikan panduan dan sempadan hidup buat yang masih bernafas.
Kisah benar
Kejadian berlaku di Kg Budiman. Tanah kelahiran yang cukup disayangi (mana taknya sampai dah beranak pinak pun rasa susah nak tinggalkan tempat ini..hehehe). Jam dua petang mak ke dapur hendak memasak. Sebelum itu dia dah dengar jeritan 'maki hamun' dari depan rumah sewa yang dekat dengan rumahnya. Mak tak sedap hati dan pujuk abah tengok apa yang jadi kat rumah tu.
Abah menolak, kata abah itu hal rumah tangga orang tak payah nak campur. Mak tak puas hati. Mak ugut2 manja. Kalau abah tak nak tengok, mak tak mahu goreng ikan yang abah teringin nak makan untuk hari itu. Sebab teringin nak makan ikan punya pasal, abah jalan malas ke rumah sewa depan rumah. Mak makin tak sedap hati. Dia paksa pula adik lelakiku (yang memang terkenal garang, berani dan 'outspoken' kat kampung itu) ekori abah.
Rupa-rupanya keluarga ibu muda dengan dua orang anak kecil yang hampir sebaya anak-anak aku (tiga tahun lebih dan baby) sedang bergelut dengan maut. Si suami yang entah tiba-tiba menggila sedang cuba menjerut leher anak sulungnya sendiri. Si ibu cuba melindungi darah dagingnya. Ayah gila tadi tidak berpuas hati. Lari ke dapur dan mendapatkan pisau tajam cuba untuk menikam mereka semua. Masa abah jenguk kat tingkap, hujung pisau betul2 terlekat di leher isterinya. Abah sempat mengarahkan ibu muda itu lari menyelamatkan diri. Barangkali Allah tidak membenarkan tragedi berdarah itu berlaku. Isteri tadi dapat mengambil kesempatan membuka selak pintu dan membawa dua anak kecilnya keluar dari rumah itu.
Dalam kekalutan menyelamatkan diri. Si kecil sulung terheret ke permukaan jalan, berdarah hampir sebahagian besar wajahnya. Si ibu pula berlari dalam keadaan separuh bogel (kata emak dia baru sudah mandi dan sedang menyusukan bayinya). Semasa menyusu dia minta si suami mencari kerja memandangkan sudah empat bulan dia tidak bekerja dan sewa rumah pun sudah lama tertangguh.
Dayus sungguh si suami. Tiba2 naik berang dan memaki hamun si isteri dan anak-anak yang dikatakan hanya menyusahkan hidupnya sahaja. Ketika nafsu menguasai diri itulah dia mahu menamatkan riwayat isteri dan zuriatnya sendiri. Aku benci lelaki itu. Mujurlah Allah memberi kelebihan kat mak untuk jadi 'busy body'. Kalau tidak pasti lain ceritanya.
Hendak tahu apa jadi pada si suami tadi. Elok sahaja isteri berlari menyelamatkan diri, adik lelakiku sudah melakukan kerjanya dengan baik (faham2 sahajalah). Kata emak, ramai berkumpul di depan rumah emak. Kiranya depan rumah emak jadi medan perbicaraan; antara orang kampung yang naik berang, soal siasat bertubi2 dari en. polis, lelaki hilang kewarasan diri dan isteri yang tidak berdaya.
Belumpun kejadian kembali reda, esok paginya terlihat pula si isteri berada di samping suami. Si suami pula menggendong si kecil yang mahu di bunuhnya semalam sambil sempat melemparkan senyuman mesra kepadaku yang tidak berkedip memandangnya.
Hmmm...sandiwara apakah ini? Aku tidak boleh membuat penilaian sendiri kerana setiap sesuatu kejadian pasti ada maksud yang kita sebagai manusia biasa tidak dapat merungkaikan. Cuma aku musykil...tidakkan isteri itu serik dengan kejadian semalam?
Selamat Hari Ibu buat ibuku tercinta SULBIAH SAHIJO dan abu mentuaku AMINAH serta ibu2 semua. Semoga emak dan mak perak sihat dan mendapat apa yang dihajati. Amin.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment